Walau jejak memudar ditelan waktu, nama mereka tetap terpahat utuh dalam ingatan.

Walau jejak memudar ditelan waktu, nama mereka tetap terpahat utuh dalam ingatan.



Izzara, Dhia & Azfar: Nama yang Kekal Menjadi Sebutan

Setiap generasi pasti ada bintang yang bersinar. Di SKPTLDM, nama Izzara, Dhia, dan Azfar sudah menjadi sebutan ramai, terutama dalam kalangan adik-adik yang mengagumi kejayaan mereka. Dari satu pertandingan ke satu pertandingan, mereka melakar kejayaan demi kejayaan—bukan sekadar di peringkat negeri atau kebangsaan, malah hingga ke pentas antarabangsa!


Kini, mereka telah melangkah ke sekolah menengah, meninggalkan legasi yang cukup besar. Pastinya, adik-adik di sekolah ingin mengikuti jejak langkah mereka. Tapi persoalannya, apa rahsia mereka hingga terpilih untuk sampai ke tahap ini?

Ringan Tulang, Bukan Sekadar Berbakat

Sebenarnya, kejayaan mereka bukan datang bergolek. Segalanya bermula dengan satu sikap yang nampak biasa tetapi memberi kesan luar biasa—ringan tulang. Mereka bukan sahaja murid yang berbakat dalam pelbagai bidang, tetapi juga sentiasa bersedia membantu guru dan sekolah.


Bila ada acara penting, mereka inilah yang jadi jurugambar, memastikan setiap detik dirakam dengan sempurna. Bukan itu sahaja, mereka juga aktif dalam bidang sukan. Pendek kata, mereka bukan murid yang hanya cemerlang dalam satu bidang, tetapi serba boleh!

Sokongan Padu dari Ibu Bapa

Satu lagi faktor yang membantu mereka mencapai kejayaan ialah sokongan penuh daripada ibu bapa. Tanpa dorongan dan kepercayaan daripada keluarga, mungkin perjalanan mereka tidak sejauh ini. Dalam setiap kejayaan, pasti ada tangan ibu bapa yang sentiasa menyokong dari belakang.

Bukan semua murid berpeluang ke peringkat kebangsaan, tetapi mereka berjaya ke Malaysia Techlympics di PICC Putrajaya. Itu bukan satu pencapaian yang biasa-biasa. Dan yang lebih membanggakan, mereka juga murid pertama yang Cikgu Suffi bawa hingga ke peringkat antarabangsa!

Kenangan Manis yang Akan Dikenang

Banyak pengalaman yang mereka timba sepanjang di SKPTLDM. Pahit manis, jatuh bangun—semuanya menjadi bekalan untuk terus cemerlang di fasa kehidupan seterusnya. Kejayaan yang mereka capai bukan sekadar untuk diri sendiri, tetapi menjadi inspirasi kepada adik-adik yang masih di sini.

Kata orang, buat baik, dapat baik. Dan itulah yang mereka buktikan. Allah S.W.T mengaturkan kelebihan kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Selagi usaha dan keikhlasan menjadi tunjang, kejayaan pasti akan menyusul.


MuFaDi: Langkah Baru Bermula

Dengan sejarah yang telah tercipta, legasi mereka tidak akan terhenti di sini. Sebuah inovasi bernama MuFaDi kini sedang mengatur langkah. Apa itu MuFaDi? Biarlah ia terus berkembang sebagai tanda kejayaan yang ditinggalkan oleh Izzara, Dhia, dan Azfar.

Buat adik-adik yang ingin berjaya seperti mereka, ingatlah satu perkara—kejayaan tidak datang dengan hanya berangan-angan. Ia lahir daripada usaha, disiplin, dan kesungguhan. Siapa tahu, mungkin nama kalian pula yang akan disebut-sebut selepas ini?


Yu. Suffi Yusof

Seorang guru yang sangat obses dengan dunia pendidikan digital dan pertanian moden. Memiliki minat mendalam dengan dunia grafik, penerbitan video, animasi dan pengurusan sumber manusia.Terus menyumbang selagi hayat dikandung badan. Biar jasa jadi kenangan.

Catat Ulasan

To Top