Kebanjiran pengikut, kemarau manfaat tanda-tanda terperangkap di media sosial.
Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
'Content Creator' sangat bagus untuk perkembangan dunia pendidikan digital. Namun jenis konten yang diterbitkan juga perlu seiring dengan tahap profesional kita sebagai warga pendidik.
Antara beberapa faktor yang boleh dipersoalkan untuk apa? apa manfaat daripada konten yang diterbitkan?
apa kesannya dari sudut persepsi masyarakat khususnya ibu bapa?
Konten Pendidikan bukan mudah untuk mendapat sambutan, tapi sekiranya menjurus kepada hiburan sambutannya didapati sangat luar biasa! Faktor ini yang menjadikan ada diantara kita terperangkap untuk menjurus kepada Konten hiburan yang menjadikan 'murid' sebagai bahan konten mereka.
Konten dalam bentuk eviden penglibatan, pertandingan, penerimaan anugerah, aprisiasi, projek sekolah sudah pasti mendapat persepsi berbeza berbanding konten 'bergelek' tanpa manfaat dengan murid mengikut trend semasa di media sosial.
Cuba kita lihat sejenak usaha gigih lebih 1,300 orang guru Youtuber Pendidikan yang berada di Akademi Youtuber Malaysia, mereka telah berjaya terbitkan lebih 26,000 video pendidikan yang rata-rata digunakan sepanjang tempoh negara berdepan pandemik Covid-19 yang lalu sehingga hari ini. Mereka juga jalankan tuisyen PERCUMA dengan lebih 6,000 jam sesi sehingga hari ini. Ini adalah contoh 'Content Creator' yang menyumbang dalam dunia pendidikan digital di Malaysia. Boleh lihat sendiri views dari video-video ini walaupun tidak serancak video berunsurkan hiburan tapi mereka tetap bergerak sehingga hari ini. Contoh terbaik yang boleh jadi ikutan para 'Content Creator'. Jangan disebabkan untuk sampai ke tahap Youtuber Pendidikan laluannya tidak begitu mudah kerana perlu kuasai ilmu penerbitan video pada tahap tinggi menjadikan laluan mudah dipilih demi kebanjiran penonton tetapi kemarau manfaat.
Ini bukan masanya untuk kita terus menghentam mana-mana pihak kerana keupayaan dan kesungguhan, kelengkapan peralatan, dan kemahiran yang mereka miliki sangat bernilai tinggi cuma perlu ditarik semula ke landasan agar tidak menyimpang. Seandainya mereka berada di landasan yang betul, inilah aset sekolah, jabatan dan kementerian satu hari nanti.
Jiwa 'Content Creator' anda hebat, cuma kadangkala kita terpedaya dengan jumlah views, like dan share yang tidak membawa erti sebenar untuk persepsi masyarakat kepada profesion yang kita cintai. Ayuh berubah kepada sesuatu yang lebih baik, banyak memberikan manfaat serta menjadikan dunia pendidikan digital di Malaysia semakin luar biasa! Sertai Edufluencers KPM kita berganding bahu untuk sesuatu yang lebih besar!
- Cikgu Suffi
Catat Ulasan