10 Cadangan isi penting dalam penulisan artikel pencalonan Anugerah Guru Inspirasi McDonald's
1. Pengenalan diri pencalon
Seperti biasa, pihak juri pasti ingin berkenalan sedikit sebanyak berkaitan pencalon dan hubungan dengan individu yang dicalonkan. Ringkas dan padat! memberi mesej pertama kepada juri untuk menyelongkar lebih dalam. Maklumat asas seperti nama, tempat tinggal, tempat bersekolah / berkhidmat. Sama seperti kita perkenalkan diri kepada insan yang baru kita kenali.
2. Pengenalan butiran diri calon
Memperkenalkan diri calon secara terperinci dan hubungan dengan pencalon supaya pihak juri mendapat gambaran awal bagaimana kaitan cerita inspirasi yang bakal dipersembahkan. Butiran diri calon juga mesti jelas sepertimana kita perkenalkan diri sebagai pencalon.
3. Kekuatan calon yang lain dari yang lain
Sudah pasti guru yang dicalonkan memiliki kekuatan yang luar biasa tersendiri sehingga menggerakkan hati pencalon untuk mencalonkan mereka. Ceritakan segala kekuatan yang cikgu tersebut memiliki untuk memberi info kepada juri bahawa guru yang dicalonkan sangat 'Luar Biasa' di hati kita.
4. Kisah inspirasi calon dan pencalon
Ceritakan segalanya! di sini saat untuk pencalon meluahkan segalanya yang berlaku sehingga kita merasakan guru ini layak untuk dinobatkan sebagai guru yang memberi inspirasi dalam kehidupan kita. Lazimnya cerita-cerita inspirasi ini adalah tingkah laku yang berlaku antara guru dan murid di luar tugas hakiki yang menyentuh emosi menyebabkan kisah itu terpahat di dalam ingatan. Sebenarnya terlalu banyak kisah-kisah inspirasi yang boleh diketengahkan cuma kadangkala kekuatan itu tidak sampai sehingga mampu menggerakkan pelajar bertindak mencalonkan guru-guru mereka. Antara contoh kisah inspirasi seperti tuisyen percuma, bantuan ketika banjir, membawa pelajar hingga ke peringkat tertinggi dalam pertandingan-pertandingan, membentuk keperibadian unggul daripada dibelenggu masalah disiplin, hubungan erat guru dan ibu bapa, dan banyak lagi.
5. Pengukuhan penceritaan sumber Inspirasi
Setiap kisah inspirasi pasti ada hasilnya yang menjadikan seseorang itu mencapai kejayaan atau kecemerlangan dalam kehidupan. Di sini pencalon adalah eviden nyata untuk diceritakan apa yang menjadikan diri anda sampai ke tahap ini. Berkat didikan luar biasa seorang guru ini berjaya membawa anda ke tahap ini yang membanggakan pelbagai pihak.
6. Pencapaian / kehebatan calon di pelbagai peringkat
Lazimnya guru-guru 'Luar Biasa' ini pasti memiliki pencapaian hebat di pelbagai peringkat! Ayuh ceritakan sekali supaya dapat menarik perhatian juri bahawa apa yang diceritakan dalam kisah inspirasi bukanlah omong kosong tanpa bukti kukuh. Pencapaian-pencapaian ini menjadi bukti yang kukuh bahawa kisah inspirasi yang diceritakan adalah benar dan telah dibuktikan dengan pencapaian-pencapaian yang dimiliki oleh guru tersebut daripada pihak-pihak lain. Semoga anugerah ini menjadi pencapaian seterusnya buat guru yang kita sayangi.
7. Eviden-eviden membuktikan kekuatan calon
Pencalon juga boleh mengumpulkan gambar-gambar berkaitan kehebatan guru yang dicalonkan supaya dapat diselitkan dalam video yang bakal disertakan dalam borang pencalonan. Eviden-eviden ini menjadikan pencalonan kelihatan lebih kukuh dan profesional. Menarik perhatian juri untuk mengikuti keseluruhan kisah yang kita kongsikan adalah satu cabaran yang sangat besar. Pastikan penceritaan anda tidak membosankan!.
8. Gambar calon yang jelas, profesional dan bermesej
Hubungi guru yang dicalonkan atau dapatkan gambar guru tersebut daripada mana-mana media sosial. Pastikan kuali gambar yang jelas dan profesional menggambarkan kehebatan guru yang kita calonkan. Kualiti gambar yang terbaik bukan sahaja memudahkan pihak juri membuat penilaian malah memudahkan pihak penerbitan juga sekiranya ingin menggunakan gambar tersebut dalam mana-mana media massa nanti.
9. Video berkaitan calon atau pencalon yang mampu menarik perhatian juri!
Sekiranya kisah inspirasi anda pernah dirakam sebelum ini boleh diselitkan dalam video yang dihantar kepada pihak penganjur. Bercerita dengan jujur dan ikhlas disulam emosi rasa sayang yang teramat dalam kepada guru-guru kita seterusnya jangan lupa ucapkan 'Terima Kasih Cikgu!' di dalam video tersebut. Walaupun bahagian video ini dalam kategori 'digalakkan', apa salahnya jika diwujudkan sebagai tanda kesungguhan kita untuk meraikan guru 'Luar Biasa' yang sangat kita sayangi. Sekiranya tiada kepakaran, boleh meminta guru-guru yang bergelar 'Youtuber Pendidikan' di sekitar anda membantu untuk tugasan ini. Untuk pelajar sekolah menengah mungkin tiada masalah, bagi pelajar sekolah rendah insyaAllah guru-guru sedia membantu.
10. Tawakal - Tahniah! Guru Inspirasi anda terpilih sebagai pemenang!
Akhir sekali, 'Hantar Pencalonan' disusuli dengan doa semoga guru yang dicalonkan berjaya memenangi tempat Top-25 Anugerah Guru Inspirasi McDonald's pada tahun ini. Kita sayang guru kita, kita sudah buat yang terbaik, seterusnya kita serahkan kepada Allah s.w.t untuk menentukan segalanya. Tahniah kerana menjadi seorang pelajar yang sudi mencalonkan guru-guru hebat kerana tidak semua memiliki kekuatan sehingga ke tahap ini. Kemenangan untuk pencalon! hanya selangkah lagi kita ke hadapan.
PENAFIAN : Cikgu Suffi adalah antara Top-25 pemenang Anugerah Guru Inspirasi McDonald's pada tahun 2022. Cadangan ini adalah inisiatif peribadi Cikgu Suffi berdasarkan pemerhatian nukilan-nukilan pencalonan yang terdahulu. Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian, maka idea menulis cadangan ini dilakukan apabila menerima banyak pertanyaan tentang bagaimana untuk menulis artikel pencalonan. Semoga perkongsian ini memberikan manfaat kepada semua, format ini bukanlah menjamin kemenangan untuk setiap pencalonan sebaliknya hanya sebagai panduan yang boleh diolah mengikut kreativiti masing-masing. Semoga bermanfaat, semoga menang!
BACA JUGA :
🔴 Guru Inspirasi McDonald’s | Iktiraf 25 Guru ‘Luar Biasa’
🔴 Terima Kasih calonkan kami! Anugerah Guru Inspirasi McDonald's
🔴 Jom calonkan Cikgu kita untuk Anugerah Guru Inspirasi McDonalds 2023, Ayuh!
Catat Ulasan