2,000,000 Views pencapaian penutup untuk tahun 2022 Channel Cikgu Suffi di Youtube

2,000,000 Views pencapaian penutup untuk tahun 2022 Channel Cikgu Suffi di Youtube

Assalamualaikum w.b.t dan Salam mesra!

Setiap paparan, ada ilmu yang dimanfaatkan.

Syukur ke hadrat Ilahi dengan limpah kurnia dan rahmatnya Channel Cikgu Suffi di Youtube telah mencapai 2,000,000 Views sebagai pencapaian penutup untuk tahun 2022 setelah pelbagai pencapaian yang sangat besar untuk insan kerdil sepanjang tahun ini. 


Channel Cikgu Suffi pada mulanya dibina sekadar suka-suka melayan diri yang terlalu obses dengan dunia penerbitan video. Bermula dengan rakaman video aktiviti sendiri dan keluarga sebagai kenang kenangan, berkembang kepada program-program yang dianjurkan oleh pihak sekolah seterusnya bergerak lebih agresif dengan video-video tutorial penggunaan Google Classroom sepanjang tempoh kawalan pergerakan yang lalu. Terima kasih rakan-rakan guru seluruh Malaysia yang memanfaatkan semua video tutorial yang tidaklah seberapa jika nak dibandingkan dengan penerbit-penerbit profesional. Sekadar dengan 'apa yang kita ada' setiap video tutorial dihasilkan untuk mempercepatkan proses penenguasaan secara menyeluruh penggunaan Google Classroom pada ketika itu. 2 Juta paparan merupakan hadiah istimewa untuk penutup tahun 2022. Terima kasih semua!


Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pengunjung yang berkunjung ke Blog rasmi Cikgu Suffi https://www.cikgusuffi.com yang sehingga kini telah mencecah 6,027,016 paparan keseluruhan untuk artikel yang telah diterbitkan. Kehadiran anda menghantar semangat dan kekuatan untuk terus berikan yang terbaik untuk dunia pendidikan digital di Malaysia!

Salah satu pencapaian yang membanggakan untuk CikguSuffi.com direkodkan pada tahun 2019 apabila inisiati latih tubi UPSR 2019 (NIMStudy) mendapat liputan meluas untuk calon-calon UPSR sehingga  merekodkan penggunaan 47,774 rekod penggunaan oleh murid-murid seluruh negara. Alhamdulillah dapat menyumbangkan sesuatu untuk kegunaan ramai. Terima kasih di atas sokongan anda semua!.



2 Julai 2020, tidak berhenti disitu pelaksanaan modul seterusnya digerakkan setelah melihat keupayaan sebenar rakan-rakan guru seluruh negara yang sangat agresif ingin mengetahui dan menguasai dunia penerbitan video termasuk pentriman digital. Akademi Youtuber https://www.akademiyoutuber.com dibuka dengan menerima 11,500 penyertaan oleh rakan-rakan guru seluruh negara.  

25,000 Video PdPC berjaya diterbitkan ke pelantar Youtuber dan lebih 6,000 Jam tuisyen percuma telah berjaya dilaksanakan sehingga hari ini. Satu pencapaian yang hebat dilaksanakan oleh rakan-rakan guru seluruh negara. Kekuatan mereka, semangat mereka membuatkan semua pemilik ilmu-ilmu digital sentiasa bersedia membimbing mereka sehingga sampai ke destinasi. 

2022, Berdentum media sosial dengan pelbagai anugerah di peringkat PPD, JPN dan KPM yang diterima oleh ahli-ahli Akademi Youtuber. Satu lagi pencapaian dan pengiktirafan kepada guru yang meluangkan masa dan tenaga dalam dunia pendidikan digital. Lebih membanggakan apabila 18 orang ahli Akademi Youtuber juga telah dinobarkan sebagai Edufluencer KPM daripada 181 guru seluruh negara. Semoga kesemuanya terus bersemangat untuk menyumbang!


Impian sewaktu kecil kini direalisasikan dengan KuizAYU.com https://www.kuizayu.com yang dibangunkan dengan kerjasama rakan-rakan guru seluruh negara. Pelantar ini menawarkan permainan kuiz layan diri meliputi subjek bermula dari prasekolah hingga matrikulasi. Semua soalan-soalan disediakan oleh guru-guru bertauliah yang juga merupakan Youtuber Pendidikan di Malaysia. Selain daripada itu, pelantar ini juga mampu menganjurkan pertandingan-pertandingan kuiz peringkat kebangsaan dengan jayanya. Terima kasih PPD, JPN, Casio Malaysia, Yatim Malaysia, Geomatica University yang pernah menjalinkan kerjasama menganjurkan kuiz di KuizAYU.com bersama youtuber-youtuber pendidikan.

Sehingga kini, 2 aplikasi android telah berjaya dilancarkan ke Google Playstore untuk dimanfaatkan oleh para pengguna peranti android. Aplikasi Akademi Youtuber kini telah berjaya merangkul pelbagai anugerah inovasi peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Sebuah inisiatif hebat daripada guru-guru Malaysia. InsyaAllah, Aplikasi KuizAYU akan mula menyertai pertandingan-pertandingan Inovasi mulai tahun 2023. Semoga pingat emas untuk setiap penyertaan!

Pencapaian inovasi AYU apps
EMAS : 9
PERAK: 2
GANGSA : 1
Best of the best : 1
Best video : 1
Special award : 2
Best paper award : 1

1. INVIDE - Gold
2. IDEX - Gold, Best of the best
3. EDGII - Silver
4. PTPM - Bronze, Best Video
5. KOLOPEM - Gold
6. NIICe - Gold, Special award
7. ICTE - Gold
8. NSIEx - Gold
9. VIC- Gold, Special award
10. INOVAS - Silver award
11. I-ARC- Gold & best paper award
12. AIPP - Gold award




Melahirkan pencipta konten pendidikan adalah satu kepuasan kepada kami guru-guru di Akademi Youtuber.  Menyedari beberapa kekangan rakan-rakan guru yang menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan pengajian di Akademi Youtuber maka kami hadirkan Fakulti Maya Dot Com untuk mengatasi kekurangan ini untuk terus melahirkan lebih ramai pencipta konten pendidikan. Pembangunan portal pembelajaran berasaskan 'Learning Management System' ini dijangka akan mempercepatkan penguasaaan sesuatu modul dengan kepantasan luar biasa. Hadir dengan modul pembelajaran secara percuma sebelum ini yang diuruskan secara manual kini melayan para pengguna selaku pelajar secara automatik dan tetap dipantau oleh para mentor. 

Selain daripada itu, Fakulti Maya Dot Com juga bakal membuka peluang kepada 'Module Creator' yang lain untuk memberi ruang dan peluang kepada para pengguna memanfaatkan modul ciptaan mereka. Sebuah portal yang dibangunkan untuk memudahkan guru-guru mendalami ilmu secara tersusun, sistematik, dan santai pada bila-bila masa. InsyaAllah kemudahan ini akan dilancarkan menjelang Mac 2023 sempena pengambilan seterusnya ahli Akademi Youtuber dari kalangan guru-guru Malaysia.

Terima kasih semua! Sokongan anda membakar semangat dan memberi kekuatan untuk seorang guru biasa memberikan sesuatu yang luar biasa untuk dunia pendidikan digital di Malaysia.










Yu. Suffi Yusof

Seorang guru yang sangat obses dengan dunia pendidikan digital dan pertanian moden. Memiliki minat mendalam dengan dunia grafik, penerbitan video, animasi dan pengurusan sumber manusia.Terus menyumbang selagi hayat dikandung badan. Biar jasa jadi kenangan.

1 Ulasan

  1. Tahniah Yu Suffi.Sentiasa terinsfirasi dengan semangat kental cikgu.Terima kasih juga kerana sudi berkongsi ilmu.

    BalasPadam
To Top